Sunday 8 May 2011

warkah cinta Adam...


SURAT CINTA BUATMU, HAWA...


Cemburu kulihat sang pungguk memadu rindu dengan sang bulan. Cemburu kulihat sang helang terbang berdua-duaan. Cemburu jua aku pada si belangkas yang hidup berkasih sayang. Tapi aku, terus kepiluan. Hawa yang diciptakan untuk kaumku bukan lagi Hawa yang dulu..
    Aku terbang bebas dalam duniaku. Ibarat sang helang yang gagah melebar sayap di ufuk Timur, berani. Kuibaratkan kau, Hawa umpama sayap kiriku ini. Lantaran tinggi nilaimu di hati lelaki. Kuterbang setinggi-tingginya meredah awan, tanpa ada tembok yang membatasi, tanpa ada dinding yang menghalang. Tatkala sesekali, bayu kencang menerjah, kuterbang rendah.


Hawa,
Bukan kutewas dengan bayu nan kencang. biarpun aku umpama helang yang gagah perkasa dan raja udara yang unggul di awanan. Namun, andainya sebelah sayapku kuat tapi sebelah lagi tergeliat, aku tidak mampu menongkah ribut yang menggila mengikut haluanku. Berat untukku menghadapinya dengan sayap yang kanan cuma. Kau tahu Hawa, aku jadi derita.


Hawa,
Kuteruskan jua perjalanan dengan ketabahan. Kubawa bersama dalam kepayahan. Kau memarahiku kerana egoku. Kauleteri semahumu. Tanpa kaudengari kalamku. Andainya hilang ego lelaki, maka musnahlah dunia tanpa kepimpinan. Kerana ego mencipta karisma dan kewibawaan. Namun tatkala egoku menjadi egoisme, maka di situ aku perlukan teguran. Kuharapkan kritikan serta pesanan berpanjangan, agar kutetap terbang di awanan, menjadi jaguh helang terbilang. Tapi,tafakurku sejenak di pepohonan, kenapa kau tak lagi menjadi Hawa yang dulu?


Hawa,
Kusedar, kehadiranmu kupinta di syurga kerana kuakur tiada nikmat yang boleh menandingi keistimewaanmu. Kau diciptakan indah, bukan daripada kepala untuk disanjungi dan dipuja, bukan dari kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya, tapi daripada rusukku, dekat dengan dada untuk dilindungi, dekat pula dengan hati untuk disayangi.


Hawa,
Dulu,kuperlukanmu sebagai teman berbudi. Menemani tugas beratku sebagai khalifah di bumi. Kaulah cerminku yang sentiasa memuhasabah diri. Tapt kini,keindahanmu yang sering kupuja, kau salah erti. Kau tampil menghiburkan dunia dengan susuk tubuh yang menggiurkan. Kaumku kekaburan. Matanya bertelanjang. Hatinya lemas ditelan keasyikan. Ah,memang kaumku suka mengambil kesempatan! Tapi,kenapa kau jual dirimu bak barang pameran? Di mana malumu yang menjadi hias pakaianmu? Tidakkah kau tahu, tubuhmu menjadi hidangan enak buat mata, racun pada jiwa. Aku bisa terhumban ke neraka kerananya. Kau gunakan keistimewaanmu untuk menggoda, air matamu untuk menipu daya, dan panahan matamu untuk melemahkan iman. Oh,Hawa, aku rindukan Hawa yang dulu! malu, terjaga, terpelihara..


Hawa,
Kutahu kau ibarat rusuk nan rapuh dan bengkok, perlu hati-hati untukku luruskan. Lantaran itu, kudatang bukan untuk menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki, bukan juga mengugut dengan paruh berbisa, tapi supaya direnung bersama bahawa antara kita perlu perbaiki diri. Dengarlah bisikan kasihku, sesungguhnya aku rindukan Hawa yang dulu, sesuci Maryam, seteguh Asiah, setulus Khadijah, setabah Fatimah. Merekalah lambang kemuliaan insan bernama Hawa.


Hawa,
Namamu indah, biarpun di mana, di segenap jiwa,
Kaulah ibu,terukir kasih disetiap dada,
Kaulah kekasih, dirindui saban ketika,
Kaulah puteri, pengubat duka, penyejuk mata,
Kaulah adik,pemberi semangat paling berguna,
Kaulaj mukminah, terukir indah di setiap dada,
Ketahuilah Hawa,
Kau kupuja,
Kerana rahim lembutmu melahirkan kaumku yang berhati waja..
Kerana ayunan lembut tanganmu, membesarkan aku dengan terjaga,
Kerana kewanitaanmu, teman hidup tempat cintaku berbicara,
Kerana kaulah ladang tanaman, taman nafsuku yang bergelora,
Kerana kau adalah hiasan, paling indah dari dunia seisinya.


Maka aku datang padamu,Hawa. membawa ubat dengan penuh cinta. Ubatilah dirimu agar kudapat terbang menguasai angkasa dan alam dengan kedua-dua sayapku yang kuat dan mantap, agar bukan sahaja kudapat menongkah angin nan kencang bahkan sayapku kibar penuh bangga, mencipta taufan...


Suratku kerana cintaku padamu,Hawa..
Adam...


>dipetik dr: Seindah Mawar Berduri
(Fatimah Sharha Mohd Noordin)

1 comment :

  1. seriously terkilan bce benda ni.. thankz

    ReplyDelete

SAHABAT