Sunday 12 June 2011

Cinta Suci

Tidak sempurna keimanan seseorang, sehingga ALLAH dan RasulNYA lebih disayangi dari dirinya sendiri, hartanya, keluarganya dan manusia seluruhnya. (Al-Hadith)
Mencintai ALLAH s.w.t. dan RasulNYA bukan sekadar pada ucapan, tetapi mestilah diiringi dengan ketaatan. Ramai dari kita yang berselawat dan berarak semasa Maulid Nabi, kononnya untuk menzahirkan kecintaaan kepada Rasulullah SAW yang dicintai, tetapi pada masa yang sama syariat agama tidak kita patuhi; Pantang larang ALLAH s.w.t. tetap kita langgari dan
perintahNYA tetap kita engkari. Kalau beginilah caranya kita melahirkan
kecintaan, maka jauhlah kita dari apa yang ALLAH s.w.t. beritakan. Firman ALLAH s.w.t. di dalam Al-Quran: Katakanlah (wahai RasulKU)! Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH,
ikutlah aku (Nabimu), nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu.

ALLAH Maha pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali Imran, 3 : 31)
Bila seseorang mengikuti perintah Nabi SAW, bererti ia mencintai akan
Islam, sebaliknya jika kita mengengkari apa yang Nabi SAW ajari,
bermakna agama Islam kita benci. Sesungguhnya tiada yang lebih Rasulullah SAW
cintai dari umat-umatnya yang mematuhi segala apa yang Baginda SAW
ajari. Pernah sekali Rasulullah SAW bersabda yang bererti:
Semua umatku masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Siapa yang
mentaati akan aku akan masuk syurga dan siapa yang mengengkari aku bererti ia
enggan (masuk syurga). (Hadith Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Dan Rasulullah SAW bersabda lagi: Sesiapa yang menghidupkan akan sunnahku adalah bersama ia bersamaku di dalam syurga. (Hadith Riwayat Ad-Daraquthny dari Aisyah r.a.)

Malangnya pada zaman sekarang, hukum ALLAH s.w.t. kita tidak pandang;
sunnah Rasulullah SAW kita letak belakang; Sistem buatan manusia jua
yang kita pegang walaupun dalam Al-Quran telah ada undang-undang. Sedangkan
dalam Al-Quran ALLAH s.w.t. telah tegaskan bahawa Islamlah cara hidup
yang telah ALLAH s.w.t. sempurnakan. Firman ALLAH dalam Al-Quran:
Pada hari ini orang kafir telah berputus asa (dalam usaha memesongkan
kamu) dari agama kamu. Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada
mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKU. Pada hari
ini telah AKU sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah KU cukupkan
kepadamu ni'matKU, dan telah KU redhai Islam itu menjadi agama
(peraturan hidup) bagimu. (Surah Al-Maidah, 5 : 3)
Kita mengaku beragama Islam dan beriman dengan Al-Quran, namun dalam
kehidupan seharian, Islam diamalkan bila ada kepentingan. Dalam
pemerintahan, agama Islam hanyalah tinggal dengan jabatan. Ada mahkamah
syariah, namun hukum Islam mahkamah buat endah tak endah. Syariah kata
penzina mesti direjam sampai mati atau disebat seratus kali, tiba-tiba
mahkamah syariah hukum penzina dengan denda yang ringan sekali. Rasanya
mahal lagi denda mencemar alam, dari denda mencemar kehormatan Islam.
Jika inilah amalan kita, mungkin kita masuk dalam golongan yang ALLAH
s.w.t. terangkan dalam kitabNYA: Dan barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, kami biarkan ia
berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan KAMI
masukkan ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.
(Surah An-Nisa, 4 : 115)

Begitu pulalah dengan kecintaan kita kepada kedua ibubapa.
Sewajarnyalah kita menyatakan kecintaaan kita dengan berbuat baik kepada mereka, baik
semasa mereka masih ada, dan terlebih lagi semasa mereka telah
meninggal dunia. Sesungguhnya roh orang yang telah tiada amat ternanti-nanti akan
kiriman dari anak-anaknya. Mengenai kiriman kepada roh-roh mereka yang
kita cinta, Nabi SAW telah bersabda: Pada suatu ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba beliau didatangi seorang lelaki dari Bani Salamah, ia bertanya: Wahai
Rasulullah! Apakah masih tetap ada perbuatan baik terhadap kedua orang
tuaku yang dengannya saya berbuat baik kepada keduanya setelah mereka
meninggal? Baginda menjawab: Ya! solatlah atas mereka, mintalah ampunan
bagi mereka, tunaikanlah janji mereka sepeninggalan mereka,
sambungkanlah sanak saudara yang disambungkan hanya kerana mereka, dan hormatilah
Tuhan mereka. (Hadith Riwayat Abu Dawud dari Abu Usaid Malik bin Rabiah As
Saidi r.a.)

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
Apabila seorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya
melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu
pengetahuan yang dapat diambil kemanfaatan daripadanya dan anak soleh
yang akan mendoakan untuknya. (Hadith Riwayat Muslim dari Abu Hurairah
r.a.) Dalam membuat kiriman, pastikanlah bahawa kiriman itu kiriman yang
meringankan penderitaan. Janganlah pula kita kirimkan kiriman yang
menambahkan kesakitan. Sabda Rasulullah SAW:
Takutlah kamu kepada ALLAH, dan janganlah kamu menyakitkan orang yang
telah mati dengan amalan-amalan jahat kamu. (Al-Hadith)
Apabila seseorang yang kita cintai meninggal dunia, tidak cukuplah
hanya mengadakan tahlil sekali sekala, atau menziarahi kubur dipagi raya.
Seharusnya kita memperbanyakkan amalan kebaikan, agar roh mereka
dilimpahi kesejahteraan, dan jauhilah dari melakukan amalan-ama
kejahatan yang menambah penyiksaan. Itulah sebaik-baik kiriman untuk
orang yang kita cintai, dan itulah yang dinamakan cinta yang suci.

Wallahu alam bishowab.

**** Isi kandungan risalah ini disesuaikan dari buku Mati Suatu Peringatan ****
Karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Segala kesilapan adalah atas kelemahan penyunting.

*sumber : Tazkirah

No comments :

Post a Comment

SAHABAT