Sunday 5 June 2011

MUKA BUKU - Facebook.... :p

Assalamualaikum w.b.t

Ana tertarik apabila membaca beberapa artikel yg menarik di blog mengenai penggunaan facebook dalam kalangan rakyat Malaysia dan saya ingin berkongsikan dengan pembaca-pembaca sekalian.  Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah membaca artikel2 seperti ini. Barangkali bagi anda ini adalah 'lagi2 fb..!','isu lapuk', 'ko pun sama juga!'..hmmm ..tapi tak salah kan kita saling ingat-mengingati. Justeru,marilah kita sama2 berfikir & bermuhasabah diri. Moga2 bermanfaat.


1. Bahana Facebook 


Ramai yang mengatakan siapa yang tidak mewujudkan facebook milik sendiri dikira ketinggalan zaman! Pada mulanya, saya tidak berminat sangat, tetapi atas desakan rakan-rakan saya wujudkan juga facebook saya sendiri. Katanya sangat berguna. Namun, saya cuba mengkaji apa keperluannya facebook seperti yang digambar2kan. Tidak berapa lama kemudian (dalam 6 bulan), saya dapat menemui beberapa kelebihan dan kelemahannya. Bukan sahaja melalui pemerhatian diri saya malah juga orang yg terdekat.

Apa yang saya ceritakan di sini bukanlah saya menentang facebook tetapi cuma menyatakan pendapat atas kebaikan dan keburukan yang saya rasa perlu untuk dikongsikan supaya anda menilai sendiri sejauh mana anda menggunakan facebook itu sepenuhnya untuk kebaikan. Seterusnya, anda sendiri lah yang berhak memilih. Jika ada yang terkena, saya memohon maaf awal-awal. Anggaplah ini sebagai peringatan kita bersama.

Antara kelebihan yang saya temui:


Merapatkan silaturrahim
Memang betul. Dunia facebook dan dunia luar semacam sangat berbeza. Kalau diluar kita sukar untuk berjumpa beramai-ramai lagi-lagi apabila tinggal berjauhan. Dalam facebook cuma log in dan kita boleh ber’jumpa’ dengan rakan-rakan kita melalui satu klik sahaja. Selain itu itu juga dapat bertukar pendapat dan fikiran sama ada tentang ilmu dan kerja organisasi. Kita juga dapat mencari rakan-rakan lama. Search sahaja namanya kerana pengguna facebook menggunakan nama sebenar.


Update dengan perkembangan semasa
Antara sebab inilah yang membuatkan saya rasa facebook ini betul-betul perlu. Banyak organisasi telah mewujudkan akaun mereka sendiri dan menerbitkan berita terbaru mereka di ruang post. Kelebihan facebook ialah setiap perkembangan (news feed) akan dipostkan pada semua dinding (wall) rakan-rakan supaya berita akan dapat dibaca secara automatic tanpa bersusah payah kita mencarinya. Malah, kita juga dapat mengetahui update terbaru rakan-rakan kita tentang apa mereka ingin kongsikan di wall kita sendiri.


Menyebarkan iklan/berita/pengumuman/maklumat dengan lebih berkesan
Kelebihan yag lain yang ada pada facebook ialah kebolehan kita men’tag’ rakan-rakan pada sesuatu gambar. Contohnya, kita boleh memuat naik (upload) gambar bersama rakan-rakan pada wall kita. kemudian apabila kita tag nama rakan-rakan kita pada gambar tersebut, secara automatic rakan-rakan kita akan mengetahuinya apabila mereka log in. Ini sangat berguna apabila kita ingin menjemput rakan-rakan kita untuk hadir pada sesuatu majlis atau mempromosikan sesuatu barang. Selain itu, berita/info yang ingin kita kongsikan boleh dibuat dengan cara yang begitu mudah sekali.

Apabila wujud dunia tanpa sempadan maka apa yang hak dan yang batil boleh tercampur. Apa yang saya sedar, facebook telah membuatkan dunia ini menjadi satu fenomena baru iaitu semua orang boleh berkongsi. Bukankah ini baik? Ya betul tetapi berdasarkan situasi umat islam sekarang ini membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.


Wujudnya pergaulan bebas
Mak saya pernah menceritakan pada saya tentang zaman universitinya dahulu yang antara baik dan buruk itu terhijab. Keadaan dahulu sungguh berbeza.
‘Kami (muslimat) tidak berjumpa dengan lelaki melainkan atas urusan penting sahaja. Tiada gurauan lebih-lebihan, berbincang perkara yang tidak berfaedah dan sebagainya. Masing-masing menjaga pandangan. Memelihara iman. Kami tidak berkongsikan maklumat kami melainkan yang penting dan yang dihalalkan sahaja. Dahulu, kita boleh bezakan mana golongan yang menjaga agamanya, mana golongan yang tidak mementingkan agama sebab tentu sekali mereka tidak bercampur. Yang menjaga agama akan cuba memelihara agamanya sebaik mungkin supaya tidak terjebak kedalam kemungkaran’.

Apabila wujudnya facebook, muslimin dan muslimat seolah-olah boleh berborak tanpa segan silu. Kadang-kadang membincang perkara yang tidak berfaedah. (komen gambar/iklan dan sebagainya) Mungkin ada yang bertanya ‘salahkah kami berkongsi pendapat?’ Niat itu tidak salah. Yang menjadi salah adalah caranya. Niat sahaja betul tetapi caranya salah boleh menyebabkan perkara betul menjadi salah. Jika ingin berkongsi pendapat atau idea, tentu ada cara yang lebih baik. Elakkan gurauan, gelak ketawa dan menceritakan hal sendiri sehingga hal yang kurang penting pun hendak diceritakan.

Berkongsi hal peribadi
Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah mempamerkan foto kita sendiri. Apa yang saya lihat kebanyakan wanita seolah-olah mempamerkan kecantikan mereka. Ada yang tidak menutup aurat. Membuat gaya-gaya yang saya rasa tidak patut seorang muslimat mempamerkannya. Ya, kadang-kadang kita tidak niat pun begitu. Soalnya, apa jua yang kita (atau orang lain) memuat naik foto kita akan menjadi tontonan umum, apakah kita tidak bimbang mengenainya?

Dalam surah An-Nur, ayat 31 Allah telah berfirman:
“Katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya. Dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasan (aurat)nya kecuali yang biasa terlihat.”

Mungkin antara kita mengatakan ‘eh, kami tutup aurat apa.’ Memang betul tetapi Allah mengingatkan kita supaya menundukkan pandangan sesama muslim dan muslimat. Apabila foto kita terpampang di facebook, yang melihatnya bukan pihak perempuan sahaja malah kaum lelaki. Bagaimana jika seorang lelaki itu boleh terjatuh hati? Apakah itu yang anda harapkan? Inilah yang dinamakan fitnah wanita. Kalau dahulu bukan main susah kita nak beri gambar kita pada orang lain. Bukan apa, takut terfitnah “orang boleh berbuat jahat dengan gambar tersebut.”

Jika zaman dulu, masa zaman sekolah saya, hendak bertegur sapa antara lelaki dan perempuan sangat susah. Masing-masing menjaga kehormatan sendiri. Menjaga pandangan. Mungkin ada yang berkata ‘kolotlah’, ‘poyonyer’ dan bermacam-macam lagi. Tetapi inilah yang dianjurkan Islam.

Ada sebab mengapa Islam menganjurkan begitu.Pertama, memelihara kehormatan individu. Kedua, tidak berlaku fitnah. ‘Kami cuma berborak biasa sahaja’. Benar, tetapi ingatlah syaitan sangat kreatif. Dia ada strateginya. Melalui borak-borak biasa itu boleh menimbulkan ‘suka’. Melalui ‘suka’ kita akan jadi biasa. Waktu itu kita tidak sedar lagi. Sudah pergi jauh tetapi masih difikirkan biasa. Dari mata turun ke hati. Mana yang salah pun dianggap betul sahaja. Ayuh, sedarlah!!

Cukuplah sekadar itu. Itu pun sudah banyak yang kita perlu betulkan. Lalu apakah tindakan kita? Mungkin bukan kita yang buat tetapi rakan kita,saudara kita yang di luar sana masih banyak yang perlu diperingatkan. Belum lagi sentuh soal masa yang menyebabkan ramai remaja menghabiskan masa berjam-jam menghadapnya. Belum lagi sentuh soal manfaat yang menyebabkan prestasi seseorang (kerja/ibadah) menurun disebabkan leka melayannya. Belum lagi sentuh mengenai masa lapang yang menyebabkan remaja kurang menjadi ulat buku (lagi-lagi membaca al-quran) tetapi menjadi ‘ulat muka’ (facebook). Banyak lagi persoalan masalah facebook yang masih belum terungkai. Anda mungkin boleh menilainya sendiri.

Persoalan yang mungkin timbul

‘Lantas, apa yang membuatkan kau menutup akaun?’.
‘Saya hendak menjaga diri saya. Saya tahu cabaran menjadi lelaki muslim sangat tinggi. Saya juga lelaki biasa yang bisa naik turun imannya, saya juga kadang-kadang tidak menjaga pandangan kerana saya juga seorang hamba yang lemah. Namun saya cuba perbaikinya. Saya cuba menjaga iman saya. Saya cuba menghindarkan perkara yang mungkar yang boleh menjatuhkan iman saya. Lalu, jika saya diberi 2 jalan, bukankah sepatutnya saya memilih jalan yang lebih baik?’

‘berdakwah lah melalui facebook..’
‘ Dah pernah cuba tetapi keberkesanannya kurang. Banyak lagi medium dakwah yang lebih berkesan daripada ini. Orang yang ber’dakwah’ kepada maksiat lagi banyak dan dapat mendapat banyak sambutan. Banyak application facebook yang membawa kepada pergaulan bebas. Saya dah cakap tadi susah kalau bercampur antara hak dengan yang batil. Nafsu kita sentiasa mengajak kepada yang mungkar. Saya nak tanya kembali, jika remaja yang sangat sukakan keseronokan, mahu ke dia nak baca post peringatan kita? setakat ‘like’ sahaja boleh la kot. Orang kita ramai yang malas membaca! Banyak yang update seperti gambar, status, komen yang tidak berfaedah lagi banyak sambutan. Berdakwah di facebook samalah seperti terjun dalam masyarakat. Yang paling takut, kita pun terjebak sama. Kita hanya mampu baca sahaja, nak menegur, takut berkecil hati.’

‘Awak nak kata facebook itu salah?’
‘Tidak. Pada saya, penggunanya yang selalu menyalahgunakannya. Gunakanlah ia sekadarnya sahaja. Jangan berkongsi maklumat yang tidak sepatutnya. Jangan upload gambar yang boleh menimbulkan fitnah pada diri kita. Jagalah batasan kita antara lelaki dan perempuan. Kalau gunakan facebook untuk berdakwah, bawalah manusia kepada Tuhan, bukannya pada diri kita. Teruskan istiqamah memberi peringatan. Teruskanlah bagi mereka yang mampu.

‘kalau begitu, macamana nak tahu perkembangan terbaru?’
‘perkembangan terbaru tidak semestinya melalu facebook saja. Banyak lagi wadah lain yang boleh digunakan untuk mencarinya.’


2.Facebook : Kita Menguasai Atau Dikuasai?


“ Pasal Facebook lagi?,”
“ Tiada isu lain ka?,”
“ Lagi-lagi muka buku?,”

Mungkin ini yang tergetus dihati anda apabila membaca perkongsian saya kali ini. Sabar dulu, saya sekadar ini berkongsi sesuatu berkaitannya. Sembang-sembang saya bersama isteri saya baru-baru ini.

“ Kekadang kita kena uji dan test, adakah kita ini menguasai atau dikuasai oleh FB,” Teringat akan salah satu bicara isteri saya.

“ Bagaimana?,” Tanya saya.

“ Dulu, biasanya saya akan berhenti seketika daripada melayari FB untuk tempoh tempoh tertentu. Kempen ‘berpuasa’ daripada berFB. Kata isteri saya.

“ Hendak pastikan bahawa, saya menguasai penggunaan FB bukannya saya dikuasai oleh FB sehingga terlalai dengannya. Isteri saya berkongsi dengan penuh petah. Asyik saya mendengarnya.(‘’,)

Menarik. Saya kira ini satu kaedah yang praktikal yang boleh kita semua lakukan. Katanya, kekadang beliau akan tetapkan satu tempoh agar berhenti seketika dengan penggunaan FB. Contohnya, berhenti atau tidak membuka akaun FB selama seminggu, sebulan atau tempoh-tempoh yang relevan. Kemudian, kita lihat.

“ Apa perasaan kita?,

“ Bagaimana kita bertahan, mengawal kehendak perasaan dan bertindak apabila kebiasaan harian kita di”berhentikan” seketika dalam jadual harian?,”

“ Gelisahkah kita?

“ Atau kita mampu menjalani kehidupan seperti biasa, penuh ketenangan dan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Alah, senang sahaja tu. – (‘’,) Tersenyum saya apabila mendengar respon sesetengah daripada kawan-kawan dan kenalan yang sememangnya kaki FB. Tetapi apabila minta mereka “berhenti” seketika :

“ Fuh, tidak mudah juga. Rasa lain sangat-sangat!.

Rungsing dan bimbang

TANPA menafikan kebaikan dan manfaat daripada FB – ( menghubungkan jaringan empayar kenalan, persaudaraan, persahabatan dan sebagainya, menjadi medium merancang, merencana, merangka dan melaksanakan apa-apa projek secara maya, menjadi reminder tarikh-tarikh event tertentu dan sebagainya) – FB juga telah membuktikan kesan negatifnya kepada komuniti masyarakat kita.

“ Semasa kursus perkahwinan saya di Perlis, pengawai yang menyampaikan kursus tersebut ada menyebutkan bahawa di Perlis sahaja pada tahun 2010 – 20 % kes perceriaan yang berlaku adalah di sebabkan oleh FB,” Isteri saya berkongsi lagi.

Facebook kini, menjadi medan untuk meluahkan ketidakpuas hatian kepada seseorang. Medium untuk mengumpat, mencaci, mencerca, menghina, menabur fitnah malah tempat membuka aib manusia. Sebaran dosa berlaku tanpa disedari – berputar 24 jam di dalam alam maya.

" MasyaAllah, hal ini benar-benar berlaku di sekeliling saya," Seorang sahabat berkomentar.

Facebook, mewujudkan suasana persengketaan, kekeruhan dan kekacauan dalam persaudaraan sesama manusia. Hanya kerana tersalah faham akan maksud di status di akan FB – ia akan menguriskan perasaan dan membawa kepada syak wasangka yang keterlaluan dan akhirnya, timbullah pelbagai buah-buah keburukan diluar fikiran manusia.

Membunuh, taburan fitnah dan mengumpat. Suami isteri yang bersengketa sehingga terdedah dengan percuma di layar maya, adik beradik berkelahi sesama sendiri, rakan sepejabat bermasam muka, dan jiran tetangga tidak bertegur sapa. Semuanya kerana, tidak dapat mengawal dan menguasai diri untuk mengendalikan nafsu ketika menggunakan FB.

Marilah kita – semak semula akan hakikat ini. Saya bukanlah penggunaan FB yang mahir, baik atau tidak ada lakukan salah dan silap. Namun, ajakan ini untuk kita perhalusi dan mengamat benar-benar setiap kelakuan, tindakan dan sikap kita dalam amalan harian.

Begitu juga dalam soal menyebarkan hadis daripada nabi Muhammad SAW di FB. Kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan hal ini. Pastikan sandaran hadis itu benar, sahih dan berasal daripada Rasulullah SAW. Saya sendiri pernah ditegur dan diingatkan oleh beberapa orang kenalan tentang perkara ini. Bimbang, kita sebarkan hadis – tetapi sebenarnya ia bukannya hadis yang datang daripada Rasulullah SAW. Kita akan menipu dalam keadaan tanpa sedar.

Ketagihan dan Kelalaian FB – Jom kita semak.

Untuk ruangan ini, sama-sama kita jujur kepada diri. Sama-sama kita lihat pada hati dan diri sendiri. Bermuhasabah untuk kita lihat akan kualiti dan tahap kepekaan serta kesensitifan diri kita dalam soal ini. InsyaAllah.

Secara praktikal, sama-sama kita lihat adakah kita ini berada dalam zon “ketagih” kepada FB ini. Sama-sama jujur dalam mengkoreksi diri.

Apa tanda anda ketagihan FB?

(1) Jika melayari internet, laman sesawang FB merupakan laman yang pertama yang akan anda buka. Membukanya dengan penuh keterujaan, - sangat-sangat mengharapkan “sesuatu” daripadanya.

(2) Anda akan rasa tidak selesa jika tidak dapat menghadap FB ini untuk tempoh satu hari. Rasa gelisah, tidak tenang dan menggeletar seluruh jiwa dan raga. Di minda anda : FB, FB, FB, FB.

(3) Anda mampu menghadap laptop, atau computer berjam-jam lamanya hanya dengan FB. Ya. Menukar status FB sekerapnya mungkin, membalas komentar-komentar dengan penuh minat dan asyik. Berchatting melalui ruangnya FB dengan rakan-rakan yang online – serentak – kekadang 5 sehingga 10 orang sekaligus. Hebat dan luar biasa!

(4) Anda terlupa untuk melakukan kerja-kerja lain, seperti assignment kuliah, tugasan daripada boss dan sebagainya sehingga mutu kerja dan produktiviti merudum. Apabila pensyarah kita, soal kenapa tidak mampu siapkan assignment pada datelinenya? Alasan kita : Saya sibuk. Maksud tersiratnya ialah, sibuk dengan FB.

(5) Bagi jiwa dan hati anda, tanpa FB anda akan rasai suatu kehilangan dalam kehidupan. Kehilangan yang akan meruntun jiwa, perasaan anda menjadi keluh kesah dan tidak dapat fokus kepada kerja-kerja harian yang lain.

Bagaimana? Ada yang pernah berkata : Aduh pedihnya? Banyak senarai ini terkena kepada aku. Sama-sama kita jujur dalam penilaian ini.

Sama-sama kita check diri kita, adakah kita begitu? Kita semak juga, bentuk-bentuk kelalaian FB. Adakah kita sudah terjebak kepada penyakit ini?

Kelalaian FB

Secara peribadi, FB ini jika disalahertikan dan disalahgunakan ia akan membawa kepada kemudaratan, kelalaian dan kealpaan.

Tanda-tanda kita dalam kelalaian ketika menggunakan FB :

(1) Ibadah harian kita semakin tumpul, dan kita leka serta habiskan masa banyak dengan FB. Kemanisan untuk beribadah kian hilang. Kelazatan dan kenikmatan membaca Al-Quran, mendirikan solat wajib, berzikir dan lain-lain amalan soleh tidak lagi menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan. Bahkan, terasa akan kehambarannya. Pernah, salah seorang rakan saya menasihati saya : “ Tanda kita hilang kemanisan beribadah, kita tidak rasa pentingnya solat berjemaah!,”

(2) Ketika azan berkumandang di udara, ketika itu kita tiada keupayaan untuk berhenti daripada melayari FB dan terus leka dibuai indah bersama alam ke”facebook”an. Susah sangat-sangat. Dalam hati, tidak mengapa – awal lagi. Kita teruskan dengan dunia FB. Sehinggakan, kita tersentak – waktu solat tinggal beberapa minit sahaja lagi!

(3) Berjam-jam masa dan detik kita dihabiskan untuk menjelajahi alam FB, dan kita semakin seronok dan sayang kepada FB. Sayangnya kita dengan FB membuatkan kita begitu ghairah menerokai kecanggihan, fungsian dan apa sahaja tentang FB walaupun tiada tidak memberikan apa-apa manfaat buat diri kita. Pernah saya jumpa seorang student, daripada pagi sehingga subuh keesokannya berhadapan dengan laptop. Bila ditanya buat apa? – Melayari FB semata-mata!

(4) Kita semakin jarang membuka Al-Quran yang menjadi penguat ruhani kita. Jika dahulu, sempat menghadap Al-Quran setiap hari, kini kita semakin jauh daripada ruh Al-Quran. Kita kata kita tidak sempat untuk mentadabbur Al-Quran kerana sibuk dengan tugasan harian. Awas, saudara-saudariku : berhati-hati dengan istilah kesibukan. Ia akan disoal dihadapan Allah SWT kelak.

(5) Zikrullah yang harus menemani kehidupan kita bergantian, dengan FB sebagai peneman hidup yang akrab. Kita kian larut dengan teman hidup yang baru, namanya FB. Kita begitu asyik berdampingnya dengannya sehingga lupakan sesuatu yang lebih penting buat jiwa dan hati kita. Zikrullah, zikir-zikir yang menjadi penenang diri kian luntur dalam sebutan bibir dan hati – lama kelamaan jiwa kita gersang, kosong dan hampir mati.

(6) Assignment kuliah yang diberikan pensyarah, gagal disiapkan tepat pada masanya. Dateline terlepas dan berasalan bahawa : “ Saya sibuk dan tidak sempat.” Hal-hal yang lain, tugasan ditempat kerja, bertangguh-tangguh, bertimbun-timbun dan akhirnya kita tidak perform! Tepuk dada, soallah iman.

(7) Dengan FB, kita leka bersembang dan berbicara tanpa arah tujuan sehingga jiwa kita terasa kekosongan dan lebih parah jika teman bersembang kita itu berlawanan jantina. Bibit-bibit maksiat mulai mencemari kejernihan hati dan akhirnya kita tersangkut dengan cinta nafsu yang memberikan bintik-bintik hitam kepada jiwa.

(8) Budaya kutuk mengutuk, usik mengusik berlawanan jantina, berbincang tanpa asas kemanfaatan dan sebagai mendominasi aktiviti harian kita. Pada awalnya, kita rasa bersalah. Eh, tidak elok begini. Tergetus dalam hati. Namun, lama-lama suntikan jarum syaitan mulai membawa kepada bibit-bibit yang menyeronokan dan mengasyikan.

(9) Gambar-gambar yang dishare, ditag dan dikomen lebih banyak membawa kepada kemudaratan, menuju ke arah penyebaran dosa dan maksiat. Gambar-gambar yang mendedahkan aurat, menghairahkan, membawa kepada fitnah dan sebagainya harus dielakan untuk diletak di dalam FB kita. Hati-hati dengan hal ini.

Dan, banyak lagi jika disenaraikan. Dan saya yakin anda sendiri mengetahuinya.
FB jika melalaikan, ia harus dinilai semula.

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”

[al-Mu'minun 23: 1-3]

Afwan saya sebut, gambar-gambar para wanita dan adik-adik remaja perempuan begitu mudah untuk dikenali, dilihat dan disedari melalui laman FB ini. Pernah saya sebut kepada para pelajar dalam kuliah saya :

“ Siswi sekalian, jaga-jagalah dalam meletakan gambar anda di FB. Di sana terdapat mata-mata dan hati-hati yang sedang asyik menikmati – kecantikan dan keayunan- anda.”

Dan, apatah lagi jika gambar itu terdedah auratnya atau tidak sempurna penutupannya.

Ia sangat-sangat mengganggu jiwa.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan calaran kepada kejernihan hati.

Mencorak keperibadian kita

Anda perasaan tak?

Bahawa, FB kepunyaan kita melambangkan keperibadian kita. Apa yang kita tulis, ungkapkan, bicarakan dan nyatakan adalah sifat kita sebenarnya.

Kekadang tanpa disedari, ada yang membuat penilaian dan memerhatikan kita melalui “wajah” facebook kita.

Ia seolah-olah menampakan sisi gelap, sahsiah diri kita dan perangai sebenar kita.

Wallahu’alam

Ana sedang berfikir ke arah itu, berfikir bagaimana hendak mengajak semua orang untuk menjadikan FB ini sesuatu yang berguna, bermanfaat dan yang penting ia baik untuk dakwah!

Kitalah yang menjadikan FB ini bermanfaat atau sebalik. Marilah kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang melayari FB dengan keupayaan untuk menguasainya. Kita yang mengaturkan segala tindak tanduk di FB sama ada penyiaran gambar, menyatakan status, komentar-komentar dan segala sebarang fungsian di dalamnya. InsyaAllah.

Sekarang, terpulanglah pada diri kita untuk bagaimana mencorakkan penggunaan fb ini. Kita sendiri lah menentukan baik & buruknya. Wallahualam...=)

No comments :

Post a Comment

SAHABAT